GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Redzuan Muharam dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang mendapat mandat diingatkan supaya 'tidak hilang ingatan' terhadap janji ditaburkan sepanjang dua minggu berkempen.

Penganalisis politik dan penasihat undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, mesej itu penting supaya semua wakil rakyat dipilih rakyat berusaha menunaikan janji diberikan.

Bagaimanapun katanya, ia akan menjadi cabaran lebih hebat kepada wakil rakyat di sesebuah kawasan yang menang bukan daripada kumpulan blok yang membentuk kerajaan ketika ini.

"Jika dia (calon) menang untuk kawasan dia tetapi majoriti yang menang di pihak lawan pun susah juga (untuk) dia tunaikan janji ... sebab perlu mendapatkan kewangan (peruntukan) daripada kerajaan negeri berkenaan.

"Sebab itu jangan berjanji bulan dan bintang atau benda yang kita tahu bukan dalam kawalan calon bertanding. Kalau sudah berjanji serta menang (PRN) memang penduduk dan orang yang mengundi calon terbabit akan menuntut janji ditaburkan," katanya kepada Harian Metro, tadi.

Katanya, justeru biarpun calon yang menang dalam PRN kali ini bukan daripada blok kerajaan, namun wakil rakyat itu masih tetap perlu berusaha lebih keras untuk membawa suara rakyat dan mengotakan janji pada warga kawasan dimenangi.

"Mereka perlu bekerja lebih kuat dan sentiasa mendengar isu-rakyat di tempat mereka (dan tetap perlu berusaha membawanya kepada pihak kerajaan untuk diselesaikan)," katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berkata, menjadi satu kemestian untuk calon yang menang dan mendapat mandat rakyat menunaikan janji serta manifesto dibawa dalam tempoh berkempen.

Menurut Azmi, cepat atau lambat manifesto itu ditunaikan bergantung kepada sesuatu isu namun perancangan untuk merealisasikannya perlu ada.

"Saya lihat kebanyakan janji dan manifesto calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini rasional.

"Pada saya, mereka sudah belajar daripada kesilapan lalu maka tiada alasan untuk tidak menunaikannya (manifesto).

" Ia kerana janji dibuat adalah janji yang mesti ditunaikan. Untuk cepatkan (tunai manifesto) kena ada dasar dan perancangan jadi seeloknya ada itu, barulah boleh selesaikan sesuatu isu.

"Bagi yang kalah pula memang tiada kuasa jadi tanggungjawab tunaikan janji dalam manifesto jatuh di bahu calon yang menang dan dipilih sebagai wakil rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 4:46 PM