Peneroka  Felda Jengka 24 tetap bersemangat untuk mengibar  kira kira 4,000 Jalur Gemilang  di seluruh kawasan  Felda   itu sebagai tanda cintakan negara sempena Bulan Kemerdekaan yang ke 64 tahun.  FOTO ROSELAN AB MALEK
Peneroka Felda Jengka 24 tetap bersemangat untuk mengibar kira kira 4,000 Jalur Gemilang di seluruh kawasan Felda itu sebagai tanda cintakan negara sempena Bulan Kemerdekaan yang ke 64 tahun. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Peneroka Felda Jengka 24, di sini, tetap bersemangat untuk mengibar 4,000 Jalur Gemilang di seluruh kawasan Felda itu sebagai tanda cintakan negara sempena Hari Kebangsaan ke-64, tahun ini.

Selain Jalur Gemilang dipasang di 330 rumah peneroka, ia turut dikibarkan di kedai, rumah guru, klinik, rumah kakitangan Felda dan pintu gerbang masuk ke tanah rancangan.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, berkata sambutan tetap meriah walaupun dalam keadaan Covid-19 yang masih belum ada penghujung.

"Ini membuktikan tanda semangat kemerdekaan dan patriotik begitu menebal tersemat di jiwa peneroka Felda Jengka 24 walaupun disambut dalam keadaan normal baharu.

"Setiap rumah peneroka digalakkan memasang sekurang-kurangnya 10 bendera termasuk rumah kakitangan, rumah guru dan premis perniagaan.

"Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) memasang bendera di sepanjang jalan dan pintu masuk dengan jumlah keseluruhan 4,000 bendera," katanya.

Beliau berkata, kos menyediakan Jalur Gemilang itu dibiayai sendiri oleh peneroka tanpa mendapat sumbangan dan tugas kerja pemasangan diadakan secara gotong-royong membabitkan pelbagai golongan termasuklah golongan muda.

Menurutnya, sebelum ini Felda Jengka 24 dinobatkan sebagai Johan Kategori Kampung Patriotik sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat Felda Wilayah Jengka bagi tiga tahun berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 5:38 PM