Kakitangan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memasang bendera Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan kemerdekaan di sekitar bandar Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Kakitangan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memasang bendera Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan kemerdekaan di sekitar bandar Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Oleh Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua ribu Jalur Gemilang akan dipasang di seluruh daerah ini bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan.

Penolong Pengarah Jabatan Perbandaran kesihatan dan persekitaran, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Khairil Rizal Mahtar berkata, program memasang Jalur Gemilang bermula hari ini sehingga ia siap sebelum sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

"MPPD sepatutnya sudah mulakan program pemasangan Jalur Gemilang pada hujung Julai namun ditangguh kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami sudah pasang 500 Jalur Gemilang dari Lukut hingga ke Linggi selain kira-kira 200 lagi di bangunan. MPPD juga sudah maklumkan kepada semua premis perniagaan untuk memasang Jalur Gemilang di premis masing-masing," katanya ditemui di lokasi pemasangan bendera di Terminal Bas Port Dickson.

Kata beliau, pihaknya memasang 230 Jalur Gemilang di terminal berkenaan dan bulatan utama sekitar daerah ini.

Khairil berharap Port Dickson akan meriah dengan kibaran Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan ini.

"Hasil pemerhatian MPPD, pemasangan Jalur Gemilang di premis perniagaan atau kediaman masih kurang sambutan.

"Kita faham, dalam tempoh ini, masih ada premis perniagaan yang tidak beroperasi akibat PKP namun sepatutnya pemasangan Jalur Gemilang tetap dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 1:19 PM