Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang (PH) Chow Kon Yeow secara berseloroh memaklumkan sekurang-kurangnya mesti ada 'sepuluh tangan' dalam Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP yang menentukan senarai nama yang mewakili parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN),12 Ogos depan.

Justeru, Ahli Parlimen Batu Kawan itu sekali lagi menyeru ahli akar umbi untuk menerima keputusan sebulat suara yang dibuat kepimpinan tertinggi parti supaya gerak kerja berdepan pilihan raya tidak terjejas.

Kon Yeow berkata, beliau sedar memang dalam setiap pilihan raya akan ada pihak yang tidak berpuas hati selepas pengumuman calon dibuat sehingga bertindak meninggalkan parti dengan menjadi calon bebas, yang ia bukan perkara baharu.

"Keputusan memilih calon sudah dibuat jawatankuasa di peringkat pusat dan ia sudah menjadi satu hakikat (yang perlu diterima) kerana senarainya sudah dimuktamadkan.

"Dalam jawatankuasa (pemilihan calon), sekurang-kurangnya mesti ada 10 tangan sebab ia terdiri daripada lima ahli (kepimpinan tertinggi) yang mereka telah membuat keputusan sebulat suara.

"Oleh itu, di negeri kita (Pulau Pinang) menerima keputusan itu dan menyeru penyokong (ahli) untuk terus beri sokongan pada parti dengan mesej utama yang dibawa kepada pengundi adalah berdasarkan prestasi kerajaan negeri ini selama 15 tahun, khususnya dalam tempoh lima tahun saya menjadi Ketua Menteri," katanya.

Ditanya sama ada sanggup untuk bertemu dengan ahli DAP yang kecewa dengan pencalonan sehingga keluar parti, Kon Yeow berkata beliau sudah menyeru kepada semua ahli untuk akur dengan keputusan.

CHOW Kon Yeow menjawab isu seorang ahli DAP keluar parti dan bertanding calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). FOTO Danial Saad
CHOW Kon Yeow menjawab isu seorang ahli DAP keluar parti dan bertanding calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). FOTO Danial Saad

"Saya tahu dia (David) beri sokongan pada saya tetapi perlu ingat sebaik seorang ahli tanding bebas ia menandakan keahlian dia akan terlucut yang perkara ini tidak ada kompromi dari sudut pandangan parti," katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, parti perlu menguruskan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli dengan baik supaya proses pilihan raya berjalan lancar apatah lagi, penamaan calon hanya berbaki dua hari sahaja lagi.

"Dalam hal ini, kita akan memastikan jentera pilihan raya kita tidak terjejas walaupun ada pihak keluar parti mahupun bertanding bebas," katanya.

Kelmarin, DAP mengumumkan 19 calonnya untuk PRN, dengan tujuh bekas ADUN digugurkan, termasuk lima EXCO antaranya bekas Timbalan Ketua Menteri II Prof P Ramasamy.

Pencalonan itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang dari segelintir bekas penyandang kerusi sehingga wujud dakwaan bahawa senarai calon itu ditentukan 'seseorang' yang ingin kembali berkuasa mentadbir Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 3:42 PM