GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Hutang dipercayai punca berlakunya pertengkaran mulut dan pergaduhan sekumpulan individu di hadapan restoran di Taman Sri Mutiara, Bukit Tengah yang video mengenainya tular, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Assisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya mengesan video insiden itu pada 12.20 tengah hari tadi dan siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12.30 tengah malam.

"Dalam kejadian itu, mangsa iaitu wanita warga tempatan berusia 30-an didatangi lelaki (suspek) juga warga tempatan lewat 20-an bersama beberapa individu lain yang telah memaksa mangsa membuat rakaman melalui telefon bimbit untuk mengaku bahawa mangsa berhutang sejumlah wang dengannya.

"Tindakan itu menyebabkan berlaku pertengkaran mulut dan tolak menolak antara mangsa dengan suspek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian, mangsa dan suspek tampil membuat laporan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 9:06 PM