SUSPEK mengamuk dengan bersenjatakan pisau pemotong daging kerana berang dengan bunyi bising sistem audio kereta berhampiran rumah mereka.
SUSPEK mengamuk dengan bersenjatakan pisau pemotong daging kerana berang dengan bunyi bising sistem audio kereta berhampiran rumah mereka.
Melvin Joni


Sibu: Polis menahan dua beranak yang mengamuk dengan bersenjatakan pisau pemotong daging, akibat berang dengan individu yang membuat bising ketika menguji sistem audio kereta berhampiran kediaman mereka, di Jalan Bukit Assek, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 11.30 pagi di hadapan bangunan lot kedai, berhampiran rumah mereka.

"Kedua-dua lelaki berusia 69 dan 33 tahun dicekup selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 2.07 petang.

"Senjata yang digunakan turut dirampas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkipli berkata, punca kejadian kerana suspek berang dengan bunyi bising sistem audio kereta yang diuji di sebuah kedai aksesori audio yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka.

"Berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan beberapa lelaki iaitu pelanggan kedai aksesori audio berkenaan.

"Suspek bertindak mengugut dan menghayunkan senjata iaitu pisau pemotong daging namun tiada kecederaan dilaporkan," katanya.

Zulkipli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 12:33 PM