SURASH membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol pagi tadi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
SURASH membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol pagi tadi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Bila masa saya jadi ahli kongsi gelap!" kata calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeram Padang Datuk Seri S Surash menafikan dakwaan dirinya terbabit dalam aktiviti kongsi gelap.

Surash menyifatkan tuduhan yang dilontarkan melalui rakaman video itu bertujuan mengganggu kempennya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

"Banyak yang tidak betul dalam video itu...pasal pendidikan saya, isu mengenai wang dan kereta saya miliki....itu semua tidak benar kerana jika saya buat jahat, saya percaya polis sentiasa ada memantau saya.

"Mereka tahu siapa saya sebenarnya, lagipun sebelum jadi calon dan menerima watikah calon sudah perlu menjalani proses saringan termasuk dengan polis, namun masih lagi ada orang hantar (fitnah) yang buruk, bukan sahaja kata saya terbabit kongsi gelap tetapi menyentuh peribadi," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau memaklumkan sudah membuat laporan polis berkaitan video tular yang memburukkan namanya itu

Surash membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol pada 10.53 pagi tadi diiringi oleh jentera pilihan raya PN Dunn Jeram Padang.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Video berdurasi empat minit 12 saat yang tular memaparkan kandungan mendakwa Surash mempunyai tatu disyaki ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, selain sering memakai pakaian berjenama dan kereta mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 2:27 PM