PENGERUSI N Nine FC, Datuk Seri S Surash, berkata 500 keluarga kurang berkemampuan akan menerima sumbangan.
PENGERUSI N Nine FC, Datuk Seri S Surash, berkata 500 keluarga kurang berkemampuan akan menerima sumbangan.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BAGI meringankan beban menyambut Deepavali, skuad bola sepak N Nine FC akan menyumbangkan barangan dapur dan wang di sekitar Jeram Padang, Jempol, esok.

Pengerusinya, Datuk Seri S Surash, berkata 500 keluarga kurang berkemampuan akan menerima sumbangan itu membabitkan penduduk ladang, kampung dan taman.

Katanya, pihaknya bersama lebih 20 sukarelawan akan mengunjungi terus ke rumah penerima sebelum menyerahkan sumbangan berkenaan.

"Biarpun berstatus kelab bola sepak, kami mahu bersama membantu masyarakat yang memerlukan.

"Sehubungan itu, sejumlah RM20,000 diperuntukkan bagi membantu penduduk dalam meraikan Deepavali, Rabu ini," katanya.

Dr Surash yang juga Pengerusi MIC Cawangan Taman Awana Indah, mengharapkan Deepavali tahun ini dapat disambut meriah.

"Sumbangan ini adalah pulangan semula selepas pasukan N Nine FC menjuarai beberapa kejohanan domestik sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 5:46 PM