JIM dan Maritim Malaysia menyerbu sebuah jeti pelantar ikan di Hutan Melintang dan berjaya menahan seramai 61 PATI dari pelbagai negara. FOTO IHSAN JIM
JIM dan Maritim Malaysia menyerbu sebuah jeti pelantar ikan di Hutan Melintang dan berjaya menahan seramai 61 PATI dari pelbagai negara. FOTO IHSAN JIM
Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Seramai 61 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam serbuan di sebuah jeti pelantar ikan di Hutan Melintang, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan Op Bersepadu kira-kira 1 pagi dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berdasarkan maklumat dan risikan.

Pengarah JIM Perak Hapdzan Husaini berkata, serbuan dijalankan di kawasan sekitar jeti pelantar ikan yang mempunyai bot-bot nelayan.

Menurutnya, seramai 61 warga asing diperiksa dengan kesemuanya berusia tujuh hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Thailand, 13 lelaki warga Indonesia, dua wanita warga Vietnam, 36 lelaki dan lima wanita serta dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar.

"Dua lagi lelaki warga Myanmar diserahkan kepada APMM bagi tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Dalam pada itu, Hapdzan berkata, kesemua mereka yang ditahan dipercayai bekerja di pelantar ikan terbabit sebagai nelayan dan pekerja am.

"Setibanya di tempat kejadian, pasukan serbuan terpaksa memotong pintu pagar bagi membolehkan pegawai masuk ke kawasan premis terbabit.

"Kehadiran pasukan operasi menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut dan menyembunyikan diri dalam semak.

"Bagaimanapun, kesemua mereka gagal meloloskan diri kerana kecekapan pasukan operasi yang berjaya menutup semua ruang dengan mengepung premis berkenaan," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 11:03 AM