OPERASI serbuan Op Patuh pasukan JIM Perak terhadap sebuah kilang percetakan di kawasan Perindustrian Pengkalan II, Pusing semalam. FOTO ihsan JIM Perak
OPERASI serbuan Op Patuh pasukan JIM Perak terhadap sebuah kilang percetakan di kawasan Perindustrian Pengkalan II, Pusing semalam. FOTO ihsan JIM Perak
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Lari bertempiaran sehingga sanggup menggadai nyawa dengan memanjat pagar zink tajam untuk mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.

Tindakan nekad itu dilakukan beberapa warga asing dalam serbuan Op Patuh pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak terhadap sebuah kilang percetakan di Pusing, di sini, pagi semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Perak, Hapdzan Husaini berkata, kecekapan pegawai operasi mengepung kawasan kilang itu berjaya menahan mereka yang terdiri daripada warganegara Myanmar dan Bangladesh berusia antara 30 tahun hingga 35 tahun daripada meloloskan diri.

"Serbuan dibuat terhadap kilang berkenaan yang disyaki menggaji warga asing tanpa permit sah.

"Kehadiran pegawai operasi di lokasi mengakibatkan mereka berlari bertempiaran sehingga ada yang sanggup menggadai nyawa dengan memanjat pagar zink tajam di belakang premis terbabit," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hapdzan berkata, ia antara lokasi serbuan dalam Op Patuh membabitkan tiga kilang di Bandar Lahat Baru, Pinji Estate dan Kawasan Perindustrian Pengkalan II, Pusing serta sebuah restoran di Bandar Sri Pengkalan, Pusing.

Menurutnya, operasi berdasarkan maklumat orang ramai dan risikan jabatan itu dilaksanakan dengan kekuatan 30 pegawai bermula 9.30 pagi dan berakhir 2 petang.

"Dalam serbuan itu, seramai 74 orang diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara sebelum 27 orang berusia diantara 30 hingga 52 tahun ditahan.

"Mereka yang ditahan membabitkan 18 lelaki warganegara Bangladesh, empat lelaki warganegara Indonesia, empat lelaki warganegara Myanmar dan satu lelaki warganegara Pakistan.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 2:50 PM