MD Alwi pada sidang media di Pejabat Umno Kelantan, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MD Alwi pada sidang media di Pejabat Umno Kelantan, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Barisan Nasional (BN) Kelantan menyifatkan Pas sudah terdesak untuk membawa pulang pengundi susulan kenyataan pimpinan parti itu yang tetap mahu menyediakan perkhidmatan bas percuma.

Setiausahanya, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, berkata sedangkan perkara itu melanggar peraturan.

Justeru, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa bagi menilai tindakan berkenaan sama ada salah atau sebaliknya.

"Situasi yang berlaku ini menunjukkan Pas sudah terdesak dan memerlukan sokongan luar kerana mereka tahu rakyat yang tinggal di Kelantan tidak mahu mengundi mereka.

"Jadi mereka terpaksa menyediakan bas untuk membawa pulang pengundi dari luar Kelantan pulang. Justeru kita berharap mereka dapat membuat keputusan tepat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan akan meneruskan pengangkutan bas percuma kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata, apa yang dilakukan pihak kerajaan negeri itu bukannya untuk membeli undi sebaliknya itu tanggungjawab mereka kepada pelajar yang kekurangan wang untuk pulang mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 11:24 AM