Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) Kelantan menyediakan sebanyak 400 bas kepada perantau untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, 400 bas itu membabitkan 8,000 penumpang yang pulang untuk mengundi di 14 Parlimen di negeri ini.

Katanya, 200 bas diperuntukkan kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 200 lagi untuk golongan awam atau yang bekerja.

"Pengangkutan ini disediakan secara percuma dan pergerakan mereka dari Lembah Klang, Johor Bahru, Utara dan negeri lain yang mula pulang sejak kelmarin sehingga esok.

"Mereka ini akan kembali semula ke destinasi masing-masing dengan menggunakan bas yang sama.

"Kepulangan perantau disambut sama ada oleh pemimpin negeri ini atau petugas dari PN," katanya pada sidang media di Pejabat Penerangan PAS Kelantan di sini, hari ini.

Pada perkembangan yang lain, Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, PN yakin akan memenangi 14 kerusi Parlimen pada PRU-15 ini.

"Ini berikutan, kita nampak sokongan dan sambutan daripada pengundi agak menggalakkan apabila mereka bersemangat untuk berkumpul dan menghadiri ceramah fizikal yang kita anjurkan.

"Golongan muda juga bersemangat apabila mereka secara sukarela berkonvoi untuk menunjukkan sokongan kepada PAS dan PN," katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama pihaknya juga akan membantu pengundi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang tidak mempunyai pengangkutan untuk keluar mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 1:34 PM