Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor diiringi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (kiri) menandatangani Tugu Peringatan 60 Tahun Hari Sabah Merdeka di Pisompuruan Square, Tambunan. FOTO Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor diiringi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (kiri) menandatangani Tugu Peringatan 60 Tahun Hari Sabah Merdeka di Pisompuruan Square, Tambunan. FOTO Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Izwan Abdullah


Tambunan: Selepas sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Kota Kinabalu pagi tadi, ribuan rakyat Sabah membanjiri pekan Tambunan, di sini, sejak petang tadi bagi meraikan Hari Sabah yang julung kali disambut secara rasmi selepas 60 tahun, hari ini.

Berkongsi tarikh Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Sabah yang menandakan kemerdekaan negeri ini daripada penjajah British pada 31 Ogos 1963.

Menyedari situasi itu dan kepentingan sejarah Sabah yang perlu dipelihara serta didedahkan kepada umum, kerajaan Sabah mengumumkan untuk menjadikan Hari Sabah sebagai acara rasmi bermula tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang merasmikan sambutan sulung itu di Dewan Pisompuruon Square, di sini, petang tadi, berkata ia adalah hari yang sangat bersejarah dan signifikan kepada seluruh rakyat Sabah.

"Menyedari pentingnya Hari Sabah kepada seluruh rakyat, maka kerajaan negeri memutuskan untuk mewujudkan kembali sambutan atau perayaan Hari Sabah di negeri ini.

"Sebenarnya Hari Sabah pernah disambut di beberapa daerah pada 31 Ogos 1963, yang kemudian disusuli dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

"Namun sambutan Hari Sabah ini seolah-olah terselindung di sebalik sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan pada tarikh yang sama.

"Maka setelah sekian lama, tahun ini dan pada hari ini, kita raikan kembali Hari Sabah sebagaimana ia pernah disambut meriah 60 tahun yang lalu," katanya.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan selaku pengerusi sambutan Hari Sabah 2023.

Hajiji berkata, Hari Sabah diisytiharkan sendiri oleh Gabenor British yang terakhir di Borneo Utara (Sabah), Sir William Goode pada 28 Ogos, 1963 di Jesselton (sekarang Kota Kinabalu).

Beliau berkata, keputusan yang diambil kerajaan negeri untuk mengadakan semula sambutan Hari Sabah adalah sebagai memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah Inggeris di bumi Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 9:02 PM