Ikon bandar raya Kuching dihiasi dengan bendera Sarawak dan pintu gerbang sempena Hari Sarawak 2021. FOTO Nadim Bokhari.
Ikon bandar raya Kuching dihiasi dengan bendera Sarawak dan pintu gerbang sempena Hari Sarawak 2021. FOTO Nadim Bokhari.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sambutan Hari Sarawak, hari ini akan tetap diraikan seluruh rakyat mengikut cara dan konsep tersendiri biarpun tanpa aktiviti bersemuka dan berkumpul ekoran pandemik Covid-19.

Katanya, sambutan itu pastinya amat bermakna buat semua rakyat Sarawak.

"Ini kerana pada tarikh 22 Julai, 58 tahun lalu, Sarawak secara rasmi mula ditadbir oleh anak Sarawak sendiri.

"Selamat menyambut Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Sarawak. Sarawak gemilang untuk semua," katanya dalam hantaran di akaun Facebook, hari ini.

Hari Sarawak diraikan bagi memperingati tarikh penyerahan pentadbiran negeri itu kepada anak watan Sarawak oleh penjajah British pada 22 Julai 1963.

Sebelum itu, Sarawak diberikan kemerdekaan oleh Kesultanan Brunei pada 1841, namun menjadi naungan British sejak 1888.

Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, Sarawak ditadbir oleh Tentera British sebelum menjadi tanah jajahan British pada 1946 dan diberikan pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963.

Pada 23 April 2016, cuti umum sempena sambutan Hari Sarawak diisytiharkan oleh Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Adenan Satem.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 11:33 AM