GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Tahap keselamatan di Hospital Beaufort masih terjamin, meskipun berhadapan isu pengawal keselamatan yang meletak jawatan kerana masalah gaji.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna berkata, situasi yang berlaku tidak menjejaskan operasi di hospital itu kerana jumlah pengawal keselamatan sedia ada masih mencukupi.

Katanya, pengawal keselamatan di hospital itu mendakwa tidak menerima gaji mengikut Perintah Gaji Minimum (PGM) sejak ia dikuatkuasakan, tahun lalu.

"Seiring dengan pengumuman kerajaan mengenai PGM, JKNS sudah mengarahkan semua syarikat kawalan keselamatan yang memeterai kontrak bersama jabatan untuk menghantar permohonan bertulis bagi pelarasan harga kontrak kerajaan yang baharu.

"Jabatan ini ada menerima permohonan bertulis daripada syarikat yang bertanggungjawab ke atas kawalan keselamatan di Hospital Beaufort, namun syarikat itu didakwa tidak membayar penyelarasan gaji mengikut kadar yang ditetapkan (RM1,500)," katanya dalam kenyataan.

Seramai 14 pengawal keselamatan mendakwa tidak menerima gaji yang sepatutnya dan meletak jawatan, dengan isu membabitkan mereka tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, pengawal keselamatan itu menuntut RM281,989.72 daripada syarikat kawalan keselamatan di Mahkamah Buruh Beaufort, menerusi dua kes berasingan.

Jumlah itu termasuk bayaran kerja lebih masa yang tidak dijelaskan sejak Mei 2022.

Asits berkata, JKNS memandang serius isu yang berlaku dan memantaunya, dengan harapan kemelut berkenaan dapat diselesaikan dengan baik dan adil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 3:59 PM