PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan (kiri) ketika sidang media di Hospital Raja Permaisuri Bainun, hari ini. FOTO Muhammad Apendy Issahak
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan (kiri) ketika sidang media di Hospital Raja Permaisuri Bainun, hari ini. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak


KERAJAAN Perak memandang serius kes pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, yang bertindak mogok dan meninggalkan pos kawalan mereka pada Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana keselamatan di hospital kerajaan atau swasta adalah penting kerana ia membabitkan nyawa pesakit serta harta benda kerajaan.

“Keselamatan di hospital perlu diutamakan kerana terdapat pesakit selain ia membabitkan harta kerajaan dan atas faktor itulah ia perlu dijaga oleh pengawal keselamatan 24 jam sehari.

“Jika hospital tiada pengawal keselamatan, macam-macam boleh berlaku seperti kecurian kerana ada kutipan wang bayaran di hospital, mungkin juga boleh berlaku kes culik bayi dan lain-lain lagi,” katanya dalam sidang media di HRPB, hari ini.

Menurutnya, kejadian mogok oleh sebahagian pengawal keselamatan di hospital berkenaan pada Jumaat lalu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya sudah mendapatkan penjelasan daripada semua yang terbabit dalam perkara itu.

“Saya dimaklumkan terdapat 192 pengawal keselamatan yang bertugas di HRPB dan pada hari kejadian syif siang (7 pagi hingga 11 pagi) sepatutnya mempunyai 104 pengawal, namun 30 daripadanya bertindak mengabaikan tugas, manakala syif petang (4 petang hingga 7 malam) seramai 88 pengawal, namun 20 daripadanya tidak hadir tugas.

“Ia berpunca daripada tidak puas hati membabitkan isu pembayaran gaji oleh syarikat kawalan keselamatan terdahulu sebelum ia diambil alih oleh syarikat baru pada September lalu.

“Kumpulan pengawal keselamatan yang mogok itu mendakwa tidak menerima gaji bulan Ogos dan perkara itu juga sudah dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk tindakan,” katanya.

Sivanesan berkata, pihaknya hari ini sudah mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang berkaitan termasuk JTK Perak serta HRPB dan perkara itu dianggap sudah selesai dengan syarikat kawalan baru berjanji kes sama tidak akan berulang.

Menurutnya, aduan daripada pengawal keselamatan yang mendakwa tidak mendapat gaji juga sedang disiasat oleh JTK mengikut Seksyen 69 Akta Kerja 1955 dan dijangka akan dibicarakan pada 26 November ini.

“HRPB tiada kaitan dengan isu ini kerana ia hanya membabitkan syarikat kawalan keselamatan dengan pekerja mereka serta perjanjian kontrak syarikat berkenaan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Syarikat kawalan keselamatan juga dinasihatkan berbincang dengan pekerja untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) jika tiada kesatuan bagi membolehkan sebarang isu diselesaikan melalui perundingan bukannya melalui mogok yang salah mengikut undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 1:37 PM