Roslan menunjukkan laporan polis selepas sebuah syarikat keselamatan gagal menyelesaikan tunggakan gaji kepada 48 pengawal keselamatan di 12 sekolah. FOTO Syamsi Suhaimi
Roslan menunjukkan laporan polis selepas sebuah syarikat keselamatan gagal menyelesaikan tunggakan gaji kepada 48 pengawal keselamatan di 12 sekolah. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


SERAMAI 48 pengawal keselamatan di 12 sekolah di Kota Bharu mendesak sebuah syarikat keselamatan menyelesaikan tunggakan gaji mereka bernilai lebih RM150,000, sejak dua bulan lalu.

Mereka mendakwa, masalah gaji itu berlaku sejak September 2016 apabila syarikat berkenaan memperoleh tender daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada mulanya, gaji masing-masing bernilai RM1,800 sebulan itu dibayar secara ansuran, namun selepas itu mula tertunggak apabila syarikat gagal menjelaskannya sejak Ogos lalu.

Wakil pengawal keselamatan itu, Roslan Kamarulzaman, 40, berkata, mereka meminta penjelasan syarikat mengenai hal itu, malangnya alasan diberikan adalah syarikat tidak memperoleh bayaran daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Bagaimanapun, selepas mereka merujuk perkara itu kepada pihak PPD, bayaran itu sebenarnya sudah diselesaikan PPD kepada syarikat terbabit.

“Masalah tunggakan gaji ini menyebabkan kehidupan kami tertekan apatah lagi perlu menyara keluarga, anak yang masih bersekolah, nak bayar sewa rumah dan ada kereta yang sudah ditarik kerana tunggakan,” katanya ketika ditemui di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan hari ini.

Menurutnya, aduan turut dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja pada setiap bulan, namun tiada perubahan.

“Kami membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Khamis lalu dan hari ini membuat laporan di SPRM Kelantan kerana bimbang sekiranya wujud salah laku berkenaan hal ini.

“Kami amat mengharap perkara ini disiasat dan tunggakan dapat diselesaikan segera daripada pihak berkaitan,” katanya.

Salah seorang pengawal keselamatan, Abdul Razak Abdul Rahim, 44, berkata, masalah tunggakan gaji itu menyebabkan kehidupan keluarganya terjejas.

“Untuk menyara keluarga saya terpaksa mengambil upah memotong rumput dan menjual kereta. Kini saya hanya menunggu masa untuk diminta keluar daripada tuan rumah berikutan sewa rumah tertunggak.

“Harapan saya, supaya pihak berkaitan dapat tampil untuk bantu selesaikan masalah ini,” katanya.

Sementara itu, pihak syarikat keselamatan itu ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Keterangan gambar:

SEBAHAGIAN pengawal keselamatan yang hadir di pejabat SPRM di sini, hari ini.

#kw tunggakan gaji pengawal keselamatan, roslan kamarulzaman

#loc 6.1167854999999998, 102.27768380000001

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 5:57 PM