Kamarul Zaman Mamat
Kamarul Zaman Mamat
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor mengesahkan seorang pegawai kanan polis dan dua pegawai rendahnya ditahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan selari sedang dijalankan Jabatan Pematuhan Standard (JIPS) bersama pihak SPRM.

"Polis Johor mengesahkan tangkapan yang dibuat oleh SPRM membabitkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah polis, semalam.

"Siasatan selari oleh JIPS bersama SPRM sedang dijalankan," katanya ringkas pada kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit isu rasuah berkaitan ujian saringan air kencing pesalah.

Memetik sumber, kesemua lelaki berusia 36 hingga 54 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di tiga daerah di Johor.

Difahamkan, penahanan dibuat selepas mereka yang berpangkat Asisten Superintendan dan Sarjan terbabit hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor, jam 2 petang kelmarin dan 11 pagi semalam.

Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas SPRM menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital di negeri ini.

Sumber dilaporkan berkata, hasil siasatan SPRM mendapati, 10 pegawai kanan dan 33 pegawai JSJN seluruh daerah di Johor terbabit merasuah patologi sejak 2018 sehingga 2022.

Katanya, setakat ini, 37 individu ditahan secara berperingkat dan sudah diberi jamin SPRM.

Tangkapan tiga pegawai dan anggota polis itu oleh SPRM turut disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Pengarah JIPS Datuk Seri Azri Ahmad pula dipetik berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan tatatertib (KST) selari tangkapan berkenaan.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 4:38 PM