RAZARUDIN, gambar fail. FOTO NSTP
RAZARUDIN, gambar fail. FOTO NSTP
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Sebarang tindakan lanjut ke atas seorang pegawai kanan dan dua anggota polis yang ditangkap kerana kes merasuah ahli patologi, baru-baru ini bergantung kepada keputusan siasatan Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang tidak akan berkompromi kepada mana-mana warganya yang terbabit kegiatan rasuah.

Katanya, sekiranya siasatan SPRM mendapati terdapat kes berkaitan pemberian rasuah membabitkan pegawai dan anggota terbabit, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka.

"Seperti saya tekankan sebelum ini, mereka yang terpalit isu rasuah atau integriti, kita tidak akan berkompromi serta akan ambil tindakan.

"Sekiranya memang ada kes berkaitan pemberian rasuah, kemungkinan mereka akan ditahan kerja. Bagaimanapun, difahamkan ia kini masih dalam peringkat siasatan SPRM," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, seorang pegawai Asisten Superitendan (ASP) dan dua anggota polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit isu rasuah berkaitan ujian saringan air kencing pesalah.

Suspek lelaki berusia 36 hingga 54 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di tiga daerah di Johor.

Seorang daripada tiga suspek itu ditahan Isnin lalu, manakala dua lagi kelmarin ketika masing-masing hadir ke pejabat SPRM Segamat di Johor untuk dirakam keterangan.

Selain ASP itu, dua lagi yang ditahan masing-masing berpangkat Sarjan dengan semuanya berusia antara 36 hingga 54 tahun dan berkhidmat di tiga daerah berasingan di Johor.

Kegiatan suspek terbongkar selepas SPRM menahan seorang pegawai patologi dari sebuah hospital di negeri itu.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, siasatan dalaman akan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebarang tindakan termasuk tahan kerja ke atas ASP dua sarjan itu hanya akan dibuat selepas siasatan SPRM selesai.

"Buat masa ini, siasatan sedang dijalankan oleh SPRM, maka kita tunggu keputusan siasatan mereka dahulu untuk sebarang tindakan daripada pihak PDRM," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Kamarul Zaman mengesahkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendahnya ditahan SPRM dan berkata, siasatan selari akan dijalankan JIPS bersama SPRM.

Mengulas perkara sama, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sekiranya keputusan siasatan memang mendapati mereka terbabit kegiatan rasuah sedemikian, kes-kes yang disiasat mereka, mungkin wajar disemak semula.

"Mungkin ada pesalah yang dibebaskan atas keputusan ujian saringan air kencing yang dipalsukan.

"Namun ketika ini kes masih dalam peringkat siasatan pihak SPRM. Kena tunggu dahulu keputusan siasatan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, hasil siasatan SPRM mendapati 10 pegawai kanan dan 33 penolong pegawai penyiasat di JSJN seluruh daerah di Johor terbabit dalam merasuah ahli patologi sejak 2018 hingga 2022.

Menurut sumber, sehingga kini 37 individu ditahan secara berperingkat dan sudah diberikan jamin SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 5:21 PM