FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit rasuah berkaitan ujian saringan air kencing pesalah.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia 36 hingga 54 tahun bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di tiga daerah di Johor.

"Penahanan dibuat selepas mereka yang berpangkat Asisten Superintendan dan Sarjan terbabit hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor pada 2 petang kelmarin dan 11 pagi semalam.

"Kegiatan suspek itu terbongkar selepas SPRM menahan seorang pegawai patologi dari sebuah hospital di negeri berkenaan," katanya.

Sumber berkata, hasil siasatan SPRM mendapati seramai 10 pegawai kanan dan 33 pegawai JSJN seluruh daerah di Johor terbabit merasuah patologi sejak 2018 sehingga 2022.

Katanya, setakat ini 37 individu ditahan secara berperingkat dan sudah diberi jamin SPRM.

Tangkapan tiga pegawai dan anggota polis berkenaan oleh SPRM itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Seri Azri Ahmad berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan tatatertib (KST) selari berhubung tangkapan itu.

"Pihak JIPS akan membuka KST seperti biasa apabila ada tangkapan SPRM membabitkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 2:55 PM