YASIN dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini  daripada pertuduhan tiga dadah yang dihadapinya. FOTO Asyraf Hamzah.
YASIN dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini daripada pertuduhan tiga dadah yang dihadapinya. FOTO Asyraf Hamzah.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Seminggu kita tidur tak lena memikirkan apakah kesudahan perbicaraan ini, keputusan hari ini amat menggembirakan dan kami ingin berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit.

"Walaupun Yasin dilepaskan tetapi dia perlu ke Tanjung Rambutan, Alhamdulillah itu bagi pihak keluarga bukan satu masalah, kerana kita yakin bahawa dia akan terima rawatan yang sempurna di situ," kata Zain Sulaiman, 51.

Abang kepada penyanyi dan komposer, Yasin, 48, yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan dadah itu berkata, mereka sekeluarga melihat dia dijaga dalam keadaan baik selepas menerima rawatan pakar di sana.

Sebaik mendengar keputusan itu, Yasin yang berada di kandang tertuduh dan memakai kemeja T hitam kelihatan tenang manakala keluarganya juga melaungkan perkataan syukur.

Pada 23 Oktober lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas satu-satunya saksi mereka iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangan.

Yasin diarah membela diri pada 3 Oktober lalu atas tiga kes dadah selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.

Pada 15 September lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memaklumkan menutup kes selepas selesai pemeriksaan semula terhadap pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.

Muhammad Amirul antara tujuh saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 28 Ogos lalu.

Yasin didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 3:58 PM