SUHAIZAN (duduk dua, kiri), menyantuni peserta cilik yang menyertai pertandingan mewarna ketika menghadiri program sempena sambutan Hari Kebangsaan Komuniti Rukun Tetangga Kampung Pengkalan Merin Pulai. FOTO Bernama
SUHAIZAN (duduk dua, kiri), menyantuni peserta cilik yang menyertai pertandingan mewarna ketika menghadiri program sempena sambutan Hari Kebangsaan Komuniti Rukun Tetangga Kampung Pengkalan Merin Pulai. FOTO Bernama
BERNAMA

Johor Bahru: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat tekad melaksanakan inisiatif membasmi kemiskinan selaras dengan misi Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini.

Suhaizan berkata sekiranya diberikan mandat untuk menjadi wakil rakyat di Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, beliau akan memastikan setiap inisiatif yang disediakan kerajaan Persekutuan dan negeri dapat disalurkan kepada golongan sasar dengan berkesan.

Katanya beberapa faktor yang menyumbang kepada kemiskinan juga telah dikenal pasti termasuk isu kesihatan dan peluang pekerjaan.

"Akibat masalah kesihatan, seseorang tidak mampu nak bekerja dan memberi kesan terhadap pendapatan.

"Selain itu mereka juga kurang mendapat peluang untuk mendapatkan kerja yang mungkin disebabkan kekurangan kemahiran, maka kami akan pastikan bantuan sedia ada sampai kepada golongan sasar," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sambutan ambang Hari Kebangsaan anjuran penduduk Kampung Pengkalan Merin, Pulai di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan kerajaan menyasarkan isu kemiskinan tegar di seluruh negara akan dinoktahkan tahun ini.

Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept diikuti hari pengundian 9 Sept.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 6:12 PM