DATUK Patinggi Abang (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Lembaran Terma antara Syarikat Sesco Berhad dan Malaysia LNG Sdn Bhd yang berlangsung secara maya, hari ini. FOTO Ihsan JABATAN PENERANGAN
DATUK Patinggi Abang (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Lembaran Terma antara Syarikat Sesco Berhad dan Malaysia LNG Sdn Bhd yang berlangsung secara maya, hari ini. FOTO Ihsan JABATAN PENERANGAN
Mohd Roji Kawi


Petra Jaya: Stesen janakuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak, Empangan Hidroelektrik Baleh di pedalaman Kapit, dijangka memulakan operasinya pada 2026.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, janakuasa hidroelektrik berkapasiti 1,285 MegaWatt (MW) itu akan mengukuhkan lagi usaha Sarawak mengembangkan tenaga diperbaharui bagi menampung permintaan tenaga untuk keperluan industri domestik selain eksport ke negara jiran, pada masa depan.

Beliau berkata, tenaga hidro akan mewujudkan ekonomi hijau dan menjamin kemakmuran negeri ini menjelang tahun 2030.

"Sarawak akan terus meningkatkan usaha untuk menghasilkan tenaga diperbaharui termasuk pengeluaran hidrogen hijau serta solar terapung di empangan hidro yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Lembaran Terma antara Syarikat Energy Berhad (SEB) dan Malaysia LNG Sdn Bhd di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

SEB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sharbini Suhaili manakala Malaysia LNG Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG dan Petronas LNG Bhd, Mohamed Syazwan Abdullah.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kombinasi sumber tenaga strategik itu akan membolehkan Sarawak memainkan peranan penting bagi menangani isu pemanasan global selaras dengan objektif ' Paris Accord' sebagai landasan untuk pertumbuhan ekonomi dunia yang dijana oleh tenaga mesra alam.

Sehubungan itu katanya, semua sektor ekonomi di Sarawak termasuk penananam semula hutan, sektor pertanian serta pembuatan akan dipacu oleh teknologi hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 3:26 PM