GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang berusaha memastikan kalangan peniaga getah menggunakan aplikasi RRIMniaga secara konsisten, selaras dengan dasar kerajaan melestarikan industri getah selain mempunyai pangkalan data komprehensif ke arah kebolehkesanan.

RRIMniaga adalah aplikasi telefon pintar dibangunkan oleh LGM bagi kegunaan peniaga getah berlesen dengan agensi itu untuk melaksanakan urus niaga komoditi itu secara dalam talian.

Pada kenyataan hari ini, LGM berkata, data RRIMniaga akan membolehkan bantuan-bantuan kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) disalurkan terus ke akaun bank pekebun kecil tanpa perlu membuat permohonan secara manual.

Sehubungan itu, LGM menegaskan bahawa ia memandang serius keingkaran peniaga getah berlesen berkaitan menggunakan RRIMniaga yang boleh membantutkan usaha kerajaan menyalurkan bantuan segera berkenaan.

"LGM akan mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk membatalkan lesen mana-mana peniaga getah yang masih gagal mematuhi syarat lesen yang telah ditetapkan.

"Peniaga getah berlesen dengan LGM sudah diwajibkan mengguna pakai aplikasi RRIMniaga untuk merekod urus niaga getah berkuatkuasa 1 Januari 2021.

"Kegagalan peniaga menggunakan RRIMniaga itu akan mengakibatkan pekebun kecil tidak menerima insentif-insentif ini," katanya.

Malah, LGM berkata, 19 premis peniaga getah berlesen yang terbukti gagal berbuat demikian, sudah dikompaun dalam 'OPS Patuh RRIMniaga' di beberapa negeri bagi tempoh Januari hingga 15 Ogos ini.

Tindakan penguatkuasaan itu selaras dengan peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan (6)(2) iaitu 'pemegang lesen hendaklah mematuhi syarat yang dikenakan ke atas suatu lesen'.

"Sabit kesalahan, pemegang lesen boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya," kata LGM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 11:48 AM