APLIKASI  bakal diperkenalkan KPPK dapat mengesan kelapa sawit daripada peringkat tanaman di ladang, urus niaga kepada pembeli berlesen sehingga ke peringkat akhir penggunaan kelapa sawit.
APLIKASI bakal diperkenalkan KPPK dapat mengesan kelapa sawit daripada peringkat tanaman di ladang, urus niaga kepada pembeli berlesen sehingga ke peringkat akhir penggunaan kelapa sawit.

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan memperkenalkan satu aplikasi untuk memudahkan urus niaga kelapa sawit dan seterusnya mengelakkan berlaku sebarang aktiviti penipuan termasuk timbangan buah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, aplikasi itu dapat mengesan kelapa sawit daripada peringkat tanaman di ladang, urus niaga kepada pembeli berlesen sehingga ke peringkat akhir penggunaan kelapa sawit.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan adalah seperti aplikasi telefon pintar RRIMniaga bagi urus niaga getah.

"Semua proses berkaitan kelapa sawit dari awal hingga ke peringkat akhir sedang diuruskan untuk dimasukkan ke dalam aplikasi ini. Percubaan bagi penggunaan aplikasi ini sudah kita buat baru-baru ini di satu kawasan di Johor.

"Contohnya kita boleh kesan sekiranya buah (kelapa sawit) yang dijual itu adalah dicuri. Kalau ada sistem kita akan tahu buah itu dicuri kerana buah yang dicuri tidak akan ada dalam rekod," katanya dalam majlis yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Mohd Khairuddin menegaskan pihaknya akan segera menggantung atau membatalkan lesen syarikat pembeli kelapa sawit sekiranya mereka didapati terbabit dalam aktiviti penipuan timbangan buah.

"Kes penipuan (timbangan) ini adalah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), tetapi kuasa yang ada pada kita (KPPK) ialah kuasa pelesenan. Jadi kita boleh menyiasat dan mengambil tindakan membatalkan atau menggantung lesen mereka terbabit," katanya.

Sebelum ini, KPPK turut mengumumkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit dalam salah laku membabitkan urus niaga buah kelapa sawit.

Kementerian memandang serius kegiatan penipuan timbang buah kelapa sawit yang menyebabkan kerugian pendapatan kepada pekebun kecil.

Menurutnya, ketika harga minyak sawit mentah melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah industri sawit iaitu RM4428.50 setan pada 23 April lalu dan harga rujukan tertinggi Buah Tandan Segar (BTS) melepasi RM900 setan, sewajarnya nikmat ini dapat dirasai oleh pekebun kecil.

"Namun peluang ini terhalang kerana tindakan segelintir pemborong yang tamak dan sanggup menjadi penjenayah ekonomi. Sehubungan ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengambil tindakan lebih tegas dan serta merta terhadap pihak yang menindas pekebun kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 7:10 AM