PESAWAT TUDM yang terbabit persembahan Hari Kebangsaan sebelum ini. FOTO NSTP.
PESAWAT TUDM yang terbabit persembahan Hari Kebangsaan sebelum ini. FOTO NSTP.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah bermula esok.

TUDM dalam kenyataan hari ini berkata, ia sebagai persiapan bagi sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos.

"TUDM dipertanggungjawabkan bagi mengetuai acara dan persembahan segmen udara melibatkan pesawat, khususnya milik TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Antara aset terlibat termasuk pesawat pejuang, pesawat pengangkut, helikopter dan aset-aset udara pasukan keselamatan lain.

"Pesawat-pesawat udara yang terlibat dalam acara gemilang sambutan di peringkat negara ini akan memulakan latihan penerbangan taktikal bermula 27 hingga 31 Ogos 2023," kata kenyataan itu.

Menurutnya, sepanjang latihan pesawat yang terbabit akan melakukan penerbangan secara rendah di beberapa kawasan, khususnya sekitar Putrajaya dan ruang udara Selangor.

"Orang ramai diminta agar tidak cemas sekiranya melihat pesawat TUDM dan ATM atau pesawat milik pasukan keselamatan lain melakukan penerbangan rendah sepanjang tempoh latihan," kata kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 8:05 PM