PESAWAT A400M. FOTO Arkib NSTP
PESAWAT A400M. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang lelaki warga emas dari Institut Jantung Negara (IJN) di sini, ke Sarawak bagi membolehkannya menjalani rawatan rehabilitasi di Wad Isolasi Pusat Jantung Sarawak.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan pesakit yang dikenali sebagai Jarit Luyang, 62, menaiki pesawat A400M daripada No 22 Skuadron berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 6.58 pagi.

Pesawat yang diterbangkan oleh Mejar A Phanom dan Mej Mohd Fitrie Idham Kamaruddin dengan dibantu pembantu juruterbang Kapten Mohamad Ridhwan Yahaya selamat tiba di Pangkalan Udara Kuching pada 8.40 pagi bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan susulan.

"Pesakit mengalami masalah injap pada jantung sebelum menjalani pembedahan penukaran injap mekanikal pada 29 Disember tahun lalu," menurut kenyataan itu.

Selain itu, penerbangan hari ini turut membawa pek bantuan makanan asas ke Labuan untuk golongan yang terkesan akibat penularan Covid-19.

"TUDM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara tercinta dan dalam masa yang sama turut menunaikan tanggungjawab kemanusiaan," menurut TUDM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 6:06 PM