ANWAR berkata kerjasama PH-BN wadah terbaik selamatkan Malaysia. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
ANWAR berkata kerjasama PH-BN wadah terbaik selamatkan Malaysia. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Kerajaan Perpaduan berdepan cabaran lebih rumit dalam menyelamatkan Malaysia, berikutan sikap pihak yang ektremis, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, memainkan isu kaum dan agama bagi menarik sokongan rakyat, tidak ubah seperti gerakan fasisme yang banyak berlaku dalam suasana politik negara barat seperti Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, hubungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menerusi Kerajaan Perpaduan, kini kaedah terbaik untuk menyelamatkan Malaysia.

"Kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman. Pertarungan ini lebih rumit daripada biasa kerana hasutan mereka yang membangkitkan emosi, sikap prasangka serta kebencian dan bukan sebaliknya menggunakan pertimbangan rasional.

"Perkara ini bukan asing di dunia khususnya di benua Eropah, kebangkitan neo-nazi dan fasisme yang menyebabkan segerombolan kalangan muda membenci kaum minoriti, orang asing dan agama lain.

"Jadi, jawapannya adalah dengan menggunakan landasan kebijaksanaan dan pertimbangan waras bagi memahami semangat Malaysia tulen. Justeru itu, dengan aspek progresif PH serta pengalaman pentadbiran BN, gabungan inilah adalah wadah terbaik selamatkan Malaysia sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Jentera dan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pentadbirannya komited dalam memastikan hak masyarakat Melayu dan Bumiputera sebagai golongan majoriti di negara ini kekal terjamin.

"Tiada sesiapa boleh pertikai negara ini dan mereka terima kehadiran Melayu dan Bumiputera sebagai majoriti. Sebab itu bahasa, agama dan hak istimewa Melayu dalam Kerajaan Perpaduan jelas dan tidak akan dimungkiri.

"Jangan ada kekhuatiran dalam soal itu, kita terima pakai prinsip dalam Perlembagaan dan tidak sama sekali meremehkan, merendahkan atau menghina siapa jua.

"Malah kita santuni dan anggap semua kaum dan agama di Malaysia sebagai satu pasukan keluarga untuk selamatkan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 8:28 PM