Muhammad Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau di sini, atas pertuduhan mengedar dadah seberat 7.4kg, 8 Ogos lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Muhammad Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau di sini, atas pertuduhan mengedar dadah seberat 7.4kg, 8 Ogos lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 7.4 kilogram, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Ahmad, 22, berasal dari Bulukumba, Indonesia itu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar 7.4kg syabu di kawasan Jeti Awam Tawau, pada jam 10.10 pagi, 8 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin dari Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Tawau tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 12:32 PM