RAKIB dihukum penjara enam bulan atas kesalahan mencuri 300 telur ayam milik seorang peniaga. FOTO Abdul Rahemang Taiming
RAKIB dihukum penjara enam bulan atas kesalahan mencuri 300 telur ayam milik seorang peniaga. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang penganggur dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mencuri 300 telur ayam membabitkan 10 papan telur di kawasan parkir Tapak 100 Tahun, Jalan Dunlop, di sini, Jumaat lalu.

Tertuduh Rakib Hassan, 39, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri telur ayam milik seorang peniaga, pada 9.30 pagi di kawasan parkir terbabit.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada masa dan tempat kejadian didapati mencuri 300 telur ayam yang diletakkan di bahagian ruang simpanan barang pacuan empat roda Toyota Hilux membabitkan kerugian kira-kira RM147.

Tertuduh juga sempat menjual telur berkenaan pada harga RM10 sekotak kepada individu lain sebelum dia ditahan polis pada 11.56 pagi, hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 1:04 PM