Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Ampang: Jenazah Allahyarham Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 38, yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft Premier 1 di Elmina, Khamis lalu, selamat dikebumikan di Tanah  Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Jenazah pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun itu tiba pada 12.30 tengah hari.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bukit Indah, Ampang untuk solat jenazah kali kedua oleh ahli keluarga dan kariah di kawasan tersebut.

Sebelum ini, jenazah Mohammad Taufiq telah disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang.

Allahyarham Mohammad Taufiq meninggalkan isteri dan empat orang anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.

Dilaporkan, 10 mangsa maut dalam nahas kira-kira jam 2.48 petang di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Kesemua mangsa yang maut adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan berusia 41 dan Heikal Aras Abdul Azim (45).

Enam penumpang terlibat ialah Johari (53), Kharil Azwan Jamaludin (43), Shaharul Amir Omar (49), Mohamad Naim Mohamed Muaidi (35) Muhammad Taufiq Mohd Zaki (37) dan Idris Abdol Talib @ Ramali (41).

Turut terkorban dalam nahas tersebut adalah penunggang motosikal, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh (32) serta pemandu kereta, Sharipuddin Shaari (51).

Berita berkaitan:

Polis rakam keterangan 3 pemilik 'dashcam'

Penyelamat pertama kongsi pengalaman

Tindakan pantas guru tadika selamatkan dua anak muridnya

Lokasi nahas pesawat jadi tumpuan orang ramai

Pengguna jalan raya rakam detik pesawat terhempas diminta tampil

Juruterbang Beechcraft berpengalaman luas - CAAM

Pesawat melencong ke kanan dari laluan penerbangan sebelum terhempas

Pesawat terhempas tragedi kedua di Elmina

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 1:40 PM