EMILYA Suzana (kiri) dan Perunding Pendidikan NTV7, Fadzlena Jafar, ketika sidang media Klinik Didik PKSK dan SPM hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
EMILYA Suzana (kiri) dan Perunding Pendidikan NTV7, Fadzlena Jafar, ketika sidang media Klinik Didik PKSK dan SPM hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Klang: Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (RTMP) buat julung kalinya akan mengadakan Klinik Didik untuk Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengurus Besar ntv7, Emilya Ab Rahim, berkata klinik itu bertujuan untuk membantu pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dengan memberikan pendedahan strategi serta teknik menjawab peperiksaan, format soalan serta skema pemarkahan oleh pemeriksa.

Katanya, Klinik Didik SPM akan memberi tumpuan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik, manakala Klinik Didik PKSK dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sains.

"Pelajar akan diberikan pendedahan mengenai teknik yang berkesan untuk menjawab soalan dan analisis soalan mata pelajaran wajib lulus dengan cara yang mudah.

"Pelajar turut diberi himpunan soalan analisis SPM dan PKSK yang terdahulu bagi membantu mereka merancang pembelajaran dengan lebih teratur," katanya pada sidang media di Sri

Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan bayaran sebanyak RM200, pelajar akan mendapat makanan, sijil penghargaan, modul dan cenderahati.

Katanya, ketika ini dua klinik itu hanya diadakan di Lembah Klang saja iaitu Klinik Didik SPM di New Straits Times Press (NSTP) Balai Berita, Bangsar pada 26 Ogos dan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 9 September.

Klinik Didik PKSK pula katanya, akan diadakan di NSTP Balai Berita pada 2 September dan di UPM pada 16 September.

"Setakat ini kita hanya adakan Klinik Didik di sekitar Lembah Klang namun jika terdapat permintaan, akan diperluaskan di seluruh negara," katanya.

Ditanya berkenaan sasaran penyertaan katanya, pihaknya menyasarkan seramai 800 pelajar bagi empat sesi klinik serta yakin jumlah itu mampu dicapai berikutan ketika ini jumlah penyertaan amat memberangsangkan terutama dari pihak sekolah.

Emilya berkata, selain pelajar yang akan menduduki SPM pada tahun, beliau turut menggalakkan pelajar Tingkatan Empat untuk turut sama menyertai Klinik Didik SPM yang diadakan.

"Ia sebagai persediaan awal kepada mereka berikutan seperti kita sedia maklum, ramai yang terkesan dalam pelajaran akibat pandemik Covid-19 sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTMP dan Primeworks Studios, Nini Yusof, berkata Klinik Didik itu diadakan bagi membantu pelajar mempersiapkan diri dari segi minda dan fizikal, berkongsi teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan mudah serta membina keyakinan diri bagi menempuh peperiksaan penting ini.

Katanya, pihaknya yakin kerjasama guru berpengalaman yang bakal mengendalikan klinik itu dapat memanfaatkan pelajar nanti.

"Walaupun program yang diaturkan amat padat dari jam 8 pagi sehingga 6 petang, namun ia diselangselikan dengan aktiviti supaya pelajar sentiasa segar, aktif dan bertenaga untuk mengikuti sesi seterusnya.

"Pelajar hanya perlu fokus dalam sesi klinik ini, kerana keperluan seperti set alat tulis dan makanan disediakan oleh pihak kami sepanjang bengkel berlangsung," katanya.

Untuk penyertaan Klinik Didik SPM dan PKSK boleh layari laman web www.buletintv3.my/klinikdidik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 4:25 PM