Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Seramai 293 pelajar tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) lulus 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan Khamis lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau meneliti laporan penuh keputusan SPM di lima sekolah yang menerima sumbangan zakat MAIWP.

Menurut beliau, pencapaian membanggakan itu menzahirkan kesungguhan guru dan pelajar bagi mencapai matlamat diimpikan.

"Saya ucapkan sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pembayar zakat kerana kecemerlangan mereka adalah barakah daripada zakat yang anda sumbangkan.

"Pelajar terbabit adalah penerima manfaat zakat dan akan kembali kepada masyarakat satu hari nanti sebagai ulama, profesional dan teknokrat yang juga pembayar zakat," katanya melalui Facebooknya hari ini.

Lima sekolah berkenaan adalah Prestasi Pondok Moden Al-Abaqirah, Ma'alim Al-Sunan li Dirasati Al-Sunnah Al-Nabawiyyah, Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur, SMA MAIWP Labuan dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMISTA) Kuala Lumpur.

Seramai 401,105 calon mendaftar dengan seramai 381,894 calon menduduki SPM 2020 yang berlangsung dalam dua sesi pada 22 Februari hingga 25 Mac lalu serta 6 hingga 23 April untuk 83 mata pelajaran di 3,310 pusat peperiksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 4:01 PM