Suhael Adnan Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Prestasi Gred Purata Nasional (GPN) bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menunjukkan penurunan iaitu 4.86 berbanding 4.80 pada 2020.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Nor Zamani Abdol Hamid berkata, nilai GPN yang lebih rendah menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Bagaimanapun, Nor Zamani berkata, pihaknya tidak membuat perbandingan kerana setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing.

"Saya tak buat perbandingan kerana kami sedar GPN adalah atas kekuatan masing-masing.

"Pelajar ini adalah kohort pertama duduki KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) maka terdapat beberapa mata pelajaran baharu, format peperiksaan baharu, mata pelajaran sedia ada dengan format baharu dan format sedia ada serta kita lihat beberapa perkara lagi," katanya dalam Pengumuman Keputusan SPM 2021, hari ini.

NOR Zamani pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 di Kementerian Pendidikan. FOTO BERNAMA
NOR Zamani pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 di Kementerian Pendidikan. FOTO BERNAMA

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun akan buat penelitian dan analisis kajian untuk meneliti apakah faktor boleh membantu boleh meningkatkan pencapaian dan penguasaan anak ini.

"Pelaksanaan KSSM ini bertujuan untuk menyediakan calon dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"KSSM juga memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif," katanya.

Ketika ditanya apa penanda aras pelajar yang mengambil SPM 2021, Nor Zamani berkata, penanda aras terbaik ialah piawaian antarabangsa dalam Ujian Lisan Bahasa Inggeris yang dijajarkan dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

"Pelajar Tingkatan Lima pada 2021 ini sangat bertuah kerana dapat melihat pencapaian mereka, penguasaan Bahasa Inggeris mereka sejajar dengan piawaian antarabangsa.

"Ia adalah satu perkara yang baik dan itu juga kita akan buat nanti pada mata pelajaran Bahasa Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 11:36 AM