Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Klinik Didik anjuran Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) untuk Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membantu pelajar dalam persediaan peperiksaan, sekali gus menguasai teknik menjawab soalan mengikut format terkini.

Ketua Pegawai Eksekutif NTV7, Seelan Paul berkata, klinik berkenaan yang sudah diadakan buat kali keempat disertai 400 pelajar sekitar Lembah Klang sejak ia dimulakan pada September lalu.

Menurutnya, penganjuran Klinik Didik memberikan respons dan perkembangan positif daripada pelajar serta ibu bapa apabila ia membantu dalam teknik menjawab soalan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan masing-masing.

"Dahulu kita fokus kepada platform televisyen (DidikTV) kerana ketika itu masih Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selepas Covid-19 ini peluang kita mendekati pelajar khususnya untuk penyediaan peperiksaan.

"Usaha ini dilihat menarik kerana ia diperlukan khususnya pelajar kategori SPM serta 12 tahun yang banyak membantu pelajar. Respons pelajar mereka rasa ia (membantu) teknik menjawab soalan dengan mudah dan mengikut format terkini.

"Ibu bapa juga gembira dan mereka boleh lihat peningkatan pelajar (anak yang menyertai Klinik Didik). Klinik Didik adalah program sehari yang memberi fokus kepada tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik untuk SPM, manakala bagi 12 tahun Bahasa Melayu, Sains dan Matematik," katanya.

Seelan berkata demikian ketika ditemui pada Klinik Didik SPM di Balai Berita NSTP, Bangsar, di sini, hari ini yang disertai kira-kira 100 pelajar sekitar Lembah Klang.

Katanya, Klinik Didik menggunakan khidmat guru mempunyai pengalaman dan keupayaan terbaik untuk membantu pelajar dalam mencapai objektif penganjuran klinik berkenaan yang mana ia juga adalah kesinambungan daripada usaha DidikTV.

"Ekosistem kita sudah ada platform di mana kita ada kelas mengajar di DidikTV (sebelum ini), maksudnya mereka belajar di televisyen dan Youtube tetapi sekarang cikgu mengajar pula bagaimana menjawab soalan mengikut teknik dan format.

"Jadi saya rasa jika seorang pelajar itu tengok DidikTV dan sertai Klinik Didik ia akan membantunya mencapai kejayaan kerana kita memberi platform mereka berjaya namun perlu disusuli dengan usaha dan doa.

"Ia juga sudah terbukti berdasarkan kajian Ipsos pada Mei hingga Jun 2021, calon SPM di luar bandar mendapat keputusan lebih baik kerana menonton TV Pendidikan," katanya.

Sementara itu, Seelan berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak termasuk syarikat korporat untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja pelajar terutama golongan B40.

"Kita juga menerima maklum balas yang meminta datang ke negeri lain dan kita juga mahu memperluaskan pelaksanaan klinik berkenaan, namun setakat ini penganjuran dilakukan di sini (sekitar Lembah Klang) saja. Kita menjangkakan akan mengadakan dua lagi klinik pada Januari depan," katanya.

Untuk penyertaan Klinik Didik SPM dan PKSK boleh layari laman web www.buletintv3.my/klinikdidik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 12:58 PM
PELAJAR yang menyertai program Klinik Didik SPM di Balai Berita Bangsar, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.
PELAJAR yang menyertai program Klinik Didik SPM di Balai Berita Bangsar, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.