LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mengawalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bukan satu isu, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang.

Beliau berkata, KPM pastinya sudah memikirkan pelbagai aspek sebelum membuat keputusan, selain tarikh peperiksaan itu hanya diawalkan sebulan.

"(Lagipun) Pengumuman bukannya dibuat pada saat akhir.

"Masih ada lagi tempoh untuk guru mengubahsuai kaedah pengajaran, kelas tambahan atau menambah ilmu pelajar Tingkatan 5... Saya rasa tidak ada isu perkara ini.

"Kalau perubahan itu tidak dibuat, bermaksud pada tahun 2025, sesi persekolahan bermula 1 Januari sebagaimana yang dikehendaki oleh masyarakat tidak dapat dilaksanakan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan peperiksaan SPM 2023 akan bermula pada 5 Disember tahun ini hingga 7 Mac 2024.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi hantaran di Facebook rasmi hari ini memaklumkan Ujian Amali Sains dijadual pada 5 hingga 7 Disember; diikuti Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 8 hingga 11 Januari manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari, tahun depan.

Ia diikuti Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 29 Januari seterusnya Ujian Bertulis dijadual pada 30 Januari hingga 7 Mac.

Aminuddin berkata, pihaknya juga percaya susunan jadual peperiksaan sudah mengambil kira semua aspek.

"(Ujian) yang besar adalah ujian bertulis. Saya rasa mereka sudah lihat semua aspek," katanya.

Sementara, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berpandangan, perubahan tarikh peperiksaan SPM 2023 disifatkan sesuai dan bagi mengembalikan sesi persekolahan yang bermula pada Januari seperti sebelum ini.

Beliau berkata, berkemungkinan silibus atau kandungan sukatan mata pelajaran untuk SPM juga sudah diselesaikan oleh guru dan pelajar ketika itu.

"Pelajar barangkali cukup bersedia pada waktu itu

"Apatah lagi mungkin tak mahu pelajar diganggu untuk bercuti dengan keluarga pada hujung tahun.

"Saya harap, ibu bapa dan pelajar khususnya dapat menyesuaikan dengan masa berkenaan," katanya.

Berita berkaitan:

  • SPM 2023 bermula 5 Disember hingga 7 Mac 2024
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 5:59 PM