Calon BN Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias menunjukkan risalah Aspirasi Pertang selepas Majlis Pengenalan Calon Pilihan Raya Negeri ( PRN ) di Kompleks UMNO Jelebu malam tadi. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Calon BN Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias menunjukkan risalah Aspirasi Pertang selepas Majlis Pengenalan Calon Pilihan Raya Negeri ( PRN ) di Kompleks UMNO Jelebu malam tadi. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias daripada Barisan Nasional (BN) memperkenalkan Lima Aspirasi Pertang sebagai misi dan akujanji sekiranya memenangi kerusi berkenaan.

Jalaluddin berkata, lima aspirasi itu membabitkan kepentingan

rakyat di Dun Pertang dan akan menjadi panduan gerak kerjanya dalam tempoh lima tahun.

"Aspirasi pertama ialah memperkasa jaringan Internet, kemudahan air, elektrik serta jalan raya.

"Kedua membabitkan naik taraf jalan ladang dan kebun kecil secara berperingkat bagi memaksimumkan pengeluaran hasil pertanian sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk," katanya semalam.

Ketiga, ia membabitkan bantuan alatan kesihatan, pendidikan, perniagaan, pertanian dan pengurusan.

"Aspirasi keempat pula ialah sumbangan tunai perayaan membabitkan warga emas berusia 70 tahun ke atas dan asnaf tanpa mengira kaum.

"Kelima, jualan rakyat di kedai terpilih secara berkala sebagai bentuk bantuan bagi mengurangkan kos sara hidup selain program mengisi minyak motosikal secara percuma," katanya.

Jalaluddin berkata, bertemakan Julang Pertang Hingga Gemilang, aspirasi diperkenalkan itu diharap dapat menjulang kehidupan rakyat Pertang ke tahap terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 4:08 PM