Noorazura Abdul Rahman


Sik: Pengundian bagi Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) DUN Jeneri, Mahamad Suhaimi Man mengumumkan hanya Muhammad Sanusi dan Khizri yang mengemukakan pencalonan mereka sebelum ditutup secara rasmi pada jam 10 pagi.

"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati dan tiada yang ditolak kertas penamaannya, "katanya.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakata Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

DUN Jeneri mempunyai 35,079 pengundi yang layak dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah Melayu

Manakala bagi DUN Belantek turut berlaku pertandingan dua penjuru membabitkan calon baharu PN, Ahmad Sulaiman selepas penyandangnya Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

Ahmad akan berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH) Mazli Saipi.

Sementara itu Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Belantek, Mohd Hilmi Marzuki mengumumkan suruhanjaya itu menerima dua pencalonan sebelum ditutup secara rasmi pada jam 10 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Isa menewaskan penyandang BN Datuk Mohd Tajudin Abdullah dan calon PH Abdul Rashid Abdullah dengan majoriti 2,574 undi.

Kerusi itu mempunyai 28,006 pengundi yang layak dengan lebih 90 peratus pengundi adalah Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 1:18 PM
Muhammad Sanusi (kanan) bersama Mohamad Khizri selepas selesai penamaan calon pada Majlis Penamaan Calon N24 Jeneri di Pejabat Daerah dan Tanah Sik. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Muhammad Sanusi (kanan) bersama Mohamad Khizri selepas selesai penamaan calon pada Majlis Penamaan Calon N24 Jeneri di Pejabat Daerah dan Tanah Sik. FOTO SYAHARIM ABIDIN