Noorazura Abdul Rahman


Sik: Abang kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Shabudin, 57, sanggup menolak dua tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar demi memastikan dia dapat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Shabudin tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, 8.30 pagi tadi dan selesai mengundi, 15 minit kemudian.

Ketika ditemui, anak kedua daripada 13 beradik ini berkata, 12 lagi adik beradiknya serta kedua ibu bapanya turut akan mengundi di tempat yang sama.

"Saya sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu, tapi kerana perjuangan, saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi.

"Insha Allah selepas ini saya akan terbang ke negara lain. Saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia," katanya.

Pada 10 Julai lalu tular banglo di Kampung Batu 8, di sini yang didakwa milik Muhammad Sanusi hasil daripada kegiatan perlombongam unsur nadir bumi (REE).

Muhammad Sanusi kemudiannya menafikan gambar banglo di Sik yang ditularkan pihak tertentu menerusi media sosial adalah miliknya.

Sebaliknya, beliau menegaskan kediaman terbabit adalah milik abangnya yang bekerja sebagai penyelam profesional dasar laut.

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Sanusi, Md Nor Taib,82, turut selesai mengundi, 9.15 pagi tadi.

Dia yang berkerusi roda dibawa oleh adik kepada Shabudin, Sobri, 54.

"Alhamdulillah pakcik sudah selesai mengundi. Sejak negara ada kan Pilihan Raya, pakcik tak pernah 'ponteng' mengundi," katanya.

Pengundian bagi PRN Ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN)memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

DUN Jeneri mempunyai 35,079 pengundi yang layak dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah Melayu.

SHABUDIN mengundi di SK Bandar Baru Beris Jaya. FOTO  L Manimaran
SHABUDIN mengundi di SK Bandar Baru Beris Jaya. FOTO L Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 12:32 PM