GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) komited untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju kumpulan kewangan serantau dengan mengetengahkan prinsip menyepadukan kriteria Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menjelang 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pihaknya memasukkan empat komitmen kelestarian utama dalam kerangka kerja termasuk memobilisasikan kewangan lestari sebanyak RM50 bilion, menambah baik kehidupan sejuta isi rumah di seluruh Asean, mencapai kedudukan karbon neutral dan kemampanan hidup.

Katanya, komitmen itu adalah sebahagian daripada keutamaan strategik kelestarian di bawah Pelan M25, iaitu menjadi digital dan mencipta pendorong nilai baharu untuk Maybank.

"Sejajar dengan usaha ini, kami menaik taraf majlis kemampanan kumpulan kami kepada exco jawatankuasa kemampanan dan menubuhkan lembaga jawatankuasa kemampanan untuk memperkukuhkan komitmen kami bagi memacu agenda kemampanan pada masa depan. Kami juga memastikan semua keputusan perniagaan utama berdasarkan prinsip ESG dengan meletakkan pelanggan dan masyarakat sebagai keutamaan dalam semua yang dilakukan oleh Maybank," katanya pada sidang media maya Hari Kelestarian Maybank 2021, kelmarin,

Sementara itu, mengenai RM50 bilion yang akan digerakkan di bawah pembiayaan mampan, Ketua Pegawai Kemampanan kumpulan perbankan itu, Shahril Azuar Jimin berkata, komitmen itu merangkumi pinjaman langsung atau pelaburan dan perkhidmatan berkaitan penyusunan, sindiket, pengumpulan dana atau penajajaminan serta penasihat yang semuanya mengintegrasi ESG.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 11:40 AM