Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sepasang suami isteri terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi Ipoh di sini, hari ini mengetepikan sabitan salah terhadap pertuduhan mengedar 19.90 gram (g) dadah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Yasmi Mohammad Yasin, 48, dan isterinya, Rossuhili Ikhsan, 47, dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas pertuduhan yang dihadapi pasangan itu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed selepas mempertimbangkan pendakwaan terhadap tertuduh dan memperhalusi penghujahan bertulis.

Sejurus keputusan itu dibacakan, Rossuhili keluar dari kandang tertuduh dilihat menangis berpelukan dengan individu lain dipercayai ahli keluarganya termasuk dua anak pasangan itu yang turut hadir mendengar keputusan mahkamah hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said manakala tertuduh diwakili peguambela, Mohamad Hafiz Jalaludin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, suami isteri itu didapati mengedar dadah berbahaya iaitu 10.9 gram heroin serta 9.0 gram monoacetylmorphines di rumah beralamat di No. 16, Jalan Melati, Kg Sri Klebang, Chemor, di sini kira-kira jam 7 malam 27 September 2020.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 12:54 PM
Muhammad Yasmi Mohammad Yasin, 48, dan isterinya, Rossuhili Ikhsan, 47,  dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu di Mahkamah Tinggi Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Muhammad Yasmi Mohammad Yasin, 48, dan isterinya, Rossuhili Ikhsan, 47, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu di Mahkamah Tinggi Ipoh. FOTO L.MANIMARAN