PIL yaba yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan Polis
PIL yaba yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan Polis
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang lelaki ditahan di sebuah kedai makan di Kampung Bayam, Lundang, di sini, Khamis lalu, selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan bersama dengan pil yaba sebanyak 2,000 biji.

Katanya, pada jam 11.40 malam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menahan suspek yang pada ketika itu sedang keluar dari sebuah kedai makan.

"Semasa ditahan, suspek memegang satu objek dengan tangan kanannya dan kemudian meletakkan objek yang dipercayai dadah di tepi dinding kedai makan itu.

"Bagaimanapun, ketika polis menghampirinya, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap dan pemeriksaan tidak menjumpai apa-apa benda salah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut di tempat suspek meletakkan objek di tepi dinding kedai makan berkenaan menjumpai beg plastik hitam.

"Di dalam beg plastik hitam itu ada bungkusan berisi 10 peket plastik berisi pil yaba dan setiap peket terdapat 200 biji pil yaba.

"Jumlah keseluruhan pil yaba yang dirampas itu adalah sebanyak 2,000 biji dengan berat 200 gram.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 2:19 PM