Dadah bersama wang tunai yang dirampas dari suspek. FOTO IHSAN PDRM
Dadah bersama wang tunai yang dirampas dari suspek. FOTO IHSAN PDRM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Penahanan seorang lelaki membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM25,500 dalam serbuan di sebuah kondominium, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 36 tahun sebelum itu ditahan untuk pemeriksaan kira-kira 9 malam selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pemeriksaan ke atas beg galas berwarna hitam dipakai suspek menemukan 27 peket plastik berisi ekstasi dan 20 foil aluminium berisi 200 biji pil Erimin 5.

Menurutnya, polis turut menemui dua peket plastik dadah jenis ketamim dan dua peket plastik berisi 23 biji pil ekstasi dalam beg sama.

"Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja di sebuah syarikat pinjaman wang berlesen dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Ogos lalu.

"Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Benzo dan turut mempunyai dua rekod jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selain dadah, polis turut menyita sebuah Honda Accord, dua bentuk cincin, sebuah telefon pintar dan wang tunai RM700 dengan keseluruhan rampasan bernilai RM153,900.

Katanya, suspek direman bermula semalam sehingga 22 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 8:09 PM