Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tiga individu termasuk dua warga asing bakal berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah pada awal bulan ini, selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini .

Ketika pertuduhan, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh, wanita warga tempatan M Hemamalani, 26, wanita warga Indonesia Puteri Adelia, 21, dan lelaki warga India N Loganathan, 42, sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Masjistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Dalam prosiding itu, kesemua mereka mengangguk faham termasuk pertuduhan ke atas Hemamalani dan Loganathan yang dibacakan dalam bahasa Tamil, namun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan secara serentak iaitu dalam satu kertas pertuduhan bagi Hemamalani dan Puteri Adelia, mereka berdua bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didapati mengedar dadah berbahaya pil Yaba seberat 161 gram di rumah beralamat No 3, Laluan Lahat Mines 4, Bandar Lahat Mines, Lahat, di sini, kira-kira 5.30, 4 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan ke atas Loganathan, dia didapati mengedar dadah ganja seberat 62 kilogram di rumah beralamat 23A, Lahat Mines 1, Bandar Lahat Mines, di sini, kira-kira 5.15 petang, juga pada 4 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar, manakala tertuduh diwakili peguam R Rajasegaran.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 11:24 AM