Mohd Shafiq (kiri) dan Mohd Adi  memasang kepuk yang ditempah pelanggan.
Mohd Shafiq (kiri) dan Mohd Adi memasang kepuk yang ditempah pelanggan.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Seorang pembuat batu nisan yang mengusahakan perniagaan itu di Matang Gerdu di sini, terpaksa bersengkang mata sehingga awal pagi bagi menyiapkan tempahan pelanggan menjelang musim perayaan ini.

Jamaluddin Ishak, 55, yang dibantu isterinya, Sofiah Suid, 48, serta lima anaknya, tidak menang tangan apabila menerima tempahan yang semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini apatah lagi Hari Raya yang bakal tiba.

Menurut Jamaluddin, dia yang mengusahakan perniagaan itu sejak 1980-an dibantu isteri dan anak-anaknya termasuk lima yang masih bersekolah.

“Setiap kali bermula musim perayaan, permintaan membuat batu nisan dan kepuk meningkat hampir dua kali ganda dari bulan biasa.

“Ditambah pula ada pelanggan yang mahukan kami membaiki dan mengecat semula batu nisan yang rosak serta pudar untuk dibaik pulih menyebabkan rutin harian menjadi dua kali ganda.

“Disebabkan itu, kami sekeluarga bukan saja membuat kerja pada waktu biasa seperti pagi dan petang, malah kini terpaksa berkorban masa malam serta subuh bagi membuat tempahan dan menyiapkan permintaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, selain batu nisan dan kepuk, permintaan cenderamata dan hiasan dinding juga turut meningkat naik sejak ia diperkenalkan dua tahun lalu.

“Trofi cenderamata dan hiasan dinding adalah produk baru yang dihasilkan perniagaan kami sekeluarga.

“Kami menggunakan mesin khas dan dikendalikan komputer sepenuhnya. Kualiti tulisan dan lukisan pada trofi ini mampu bertahan lebih 15 tahun.

“Berikutan kesibukan ini, selain isteri dan anak sulung iaitu Mohd Shafiq 26, saya dibantu semua anak termasuk dua yang bersekolah rendah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafiq, berkata, dia yang memiliki diploma dalam bidang elektronik dari KN Education, Negeri Sembilan, pada usia 20 tahun, tidak pernah menyesal dalam membantu perniagaan bapanya, malah dia gembira kerana dapat mempelajari ilmu yang baru.

“Sejak berkecimpung dalam pembuatan batu nesan kepuk dan trofi, saya mula mahir atas tunjuk ajar ayah.

“Walaupun perniagaan ini hanya sekadar cukup-cukup makan bagi kami semua, saya berhasrat untuk memperkembangkan lagi perniagaan ini ke peringkat yang lebih jauh,” katanya.

Anak kedua, Mohd Adi Fahmi, 17, berkata, dia yang bersekolah di tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kurau, di sini, tidak kekok membantu bapanya, malah dia tidak kisah digelar pembuat batu nisan.

Katanya, apa yang dilakukan adalah satu mata pelajaran seni selain membantu bapa dan abangnya dalam menyara kehidupan mereka.

Selain Mohd Adi Fahmi, adiknya, Mohd Haikal Hakimi, 14, Nur Alia Natasha,12, dan Mohd Aidil Ikhwan,11, turut membantu perniagaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 10:20 AM