TAPAK tanah tuntuh di Father Organic Farm, Jalan Genting -  Batang Kali. FOTO Arkib NSTP.
TAPAK tanah tuntuh di Father Organic Farm, Jalan Genting - Batang Kali. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Laporan tragedi tanah runtuh Batang Kali dijangka siap akhir bulan ini dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini berkata, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan, dalam peringkat penyediaan draf laporan akhir.

"Saya memahami banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir kejadian berkenaan, justeru saya memberi jaminan JKR sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini," katanya.

Nanta berkata, antara elemen yang diambil kira dalam penyiapan laporan tersebut adalah kerja-kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisis data.

"Data dari ujian ini adalah penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi," katanya.

Semalam, media melaporkan mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali menuntut kerajaan mengeluarkan laporan penuh siasatan tragedi itu.

Tragedi 16 Dis 2022, pada kira-kira 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 4:05 PM