GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kes denggi yang dilaporkan di Johor terus menunjukkan tren peningkatan yang membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kumulatif kes pada Minggu Epid Ke 39/2022 ialah 2,403 kes iaitu peningkatan sebanyak 65.7 peratus kes berbanding tempoh yang sama tahun 2021 sebanyak 1,450 kes.

Katanya, daripada jumlah kes yang dilaporkan, 824 kes atau 34.3 peratus dilaporkan dari lokaliti wabak dan 1,579 kes (65.7 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

"Pada minggu epid ini juga sebanyak 131 kes demam denggi dilaporkan. Bilangan ini meningkat sebanyak 12.9 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya iaitu 116 kes.

"Peningkatan ini disumbangkan oleh faktor cuaca yang menyebabkan takungan air serta keadaan yang kondusif kepada peningkatan populasi nyamuk Aedes terutama di persekitaran.

"Daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Daerah Johor Bahru yang menyumbang sebanyak 94 kes iaitu 71.8 peratus dari jumlah keseluruhan kes dan diikuti Kulai (19 kes), Pontian (empat kes), Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Tangkak masing-masing melaporkan tiga kes.

"Manakala daerah Segamat terdapat dua kes. Tiada kes dilaporkan di daerah Mersing dan Muar. Daerah yang melaporkan peningkatan kes adalah Johor Bahru, Kulai, Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi dan Tangkak," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tian Soon turut menyarankan kepada rakyat Johor agar mengambil serius terhadap wabak deman denggi terutamanya di daerah Johor Bahru dan Kulai.

Dalam perkembangan lain, Tian Soon berkata terdapat peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), sebanyak 45 peratus pada minggu epid 39/2022 berbanding minggu epid sebelumnya.

"Secara keseluruhan, kumulatif kes HFMD di negeri Johor menunjukkan daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi 3,190 kes, Kluang 1,156 kes, Tangkak 932 kes, Batu Pahat 929 kes, Segamat 814 kes, Kota Tinggi 745 kes, Pontian 596 kes, Muar 345 kes, Kulai 312 kes dan Mersing 134 kes.

"Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 7,878 kes, diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu sebanyak 1,100 kes, dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 3:56 PM