Pantai Kampung Buntal, lokasi dua pencari kepah lemas dihanyutkan arus deras malam tadi. (Gambar kecil) Awang  Khairul Aziq. FOTO MOHD ROJI KAWI
Pantai Kampung Buntal, lokasi dua pencari kepah lemas dihanyutkan arus deras malam tadi. (Gambar kecil) Awang Khairul Aziq. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Salah seorang pencari kepah yang lemas dihanyutkan arus deras di pantai Kampung Buntal, tengah malam tadi, Awang Khairul Aziq Awang Chula, 25, menunjukkan perangai pelik apabila membawa bekal makanan sebelum turun ke pantai berkenaan, petang semalam.

Adiknya, Awang Amin Awang Chula, 20, berkata abang sulungnya itu tidak pernah berbuat demikian selama mencari rezeki sebagai pencari kepah sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Awang Amin berkata, biasanya abangnya itu hanya membawa peralatan untuk mencari kepah termasuk lampu suluh.

"Tetapi ketika hendak ke pantai petang semalam, tiba-tiba dia menyiapkan bekal nasi dan lauk. Itu tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

"Apabila ditanya kenapa sampai membawa bekal sedangkan lokasi mereka mencari kepah bukannya jauh dari rumah, abang sekadar kata, dia akan pergi lama," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Buntal, di sini, hari ini.

Awang Amin berkata, kira-kira jam 11.30 malam mereka dimaklumkan oleh penduduk kampung bahawa abangnya serta seorang lagi rakannya hilang selepas dihanyutkan arus deras.

"Saya bersama penduduk kampung bergegas ke pantai untuk mencari mereka di merata tempat sepanjang pantai itu hingga muara sungai dan usaha kami bersama pasukan penyelamat akhirnya berjaya apabila mayat abang dan rakannya ditemui selepas kira-kira tiga pencarian.

"Arwah abang seorang yang bertanggungjawab... dia gigih membantu keluarga mencari rezeki. Biasanya abang akan menjual sendiri kepah di gerai depan rumah kami dan ada masanya menjual kepada peraih," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang turut serta mencari kedua-dua mangsa, Mukrizan Sendera, 17, berkata jenazah Awang Khairul Aziq , ditemui ketika mereka sedang mengusung jenazah seorang lagi mangsa, Mohamad Amin Umar, 39.

"Jenazah mangsa pertama itu (Mohamad Amin) ditemui terdampar di pantai pada jam 3.30 pagi dan ketika kami sedang mengusungnya untuk membawa balik ke rumah, salah seorang rakan kami secara tidak sengaja tersuluh jenazah Awang Khairul Aziq," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka turun ke pantai untuk mencari kepah.

Rakan mereka yang terselamat memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung sebelum mereka keluar beramai-ramai mencari kedua-dua mangsa di pantai berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, yang menerima panggilan daripada pihak polis berhubung kejadian itu pada jam 12.47 tengah malam mengerah tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu dua Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Swart serta tiga Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Buntal untuk mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat.

Sejurus ditemui, jenazah kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

Jenazah Awang Khairul Aziq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buntal manakala Mohamad Amin dibawa balik ke Kampung Baru, Samarahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 12:00 PM