Mayat Mohamed Zulfadhli diletakkan dalam kenderaan polis untuk dibawa ke HKB selepas ditemui lemas hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Mayat Mohamed Zulfadhli diletakkan dalam kenderaan polis untuk dibawa ke HKB selepas ditemui lemas hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Nur Izzati Mohamad


“ABANG saya mahu menyelamatkan Azlan (rakan) yang dihanyutkan ke laut sebelum dia sendiri dibawa arus,” kata Mohamed Zulhusni Mohamed Johari, 17, adik kepada pencari kepah, Mohamed Zulfadhli, 23, yang ditemui lemas hari ini.

Pencari kepah berkenaan ditemui pada 11, 20 pagi hari ini selepas 17 jam hilang dalam kejadian 6 petang berhampiran Pasar Bisik, Pantai Kuala Muda, Penaga di Kepala Batas semalam.

Menurut Mohamed Zulhusni, dia bersama abangnya mahu menyelamatkan Azlan Asri, 13, tetapi gagal kerana pada masa yang sama mereka juga turut dihanyutkan arus.

“Saya sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu, nelayan yang berada berhampiran di kawasan itu kemudiannya berjaya menyelamatkan Azlan, manakala abang pula hilang,” katanya.

Menurutnya, dia pergi ke pantai itu selepas diajak abangnya yang sebelum ini berkelakuan pelik apabila berkurung di dalam bilik selama seminggu.

“Hari ini, abang pergi buat selama-lamanya dan saya terkilan kerana tidak dapat menyelamatkannya,” katanya.

Mohamed Zulfadhli ditemui terapung di perairan Kota Kuala Muda, Kedah oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira dua batu nautika dari lokasi kejadian.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas Mohd Fauzi Shuib berkata, operasi SAR yang mendapat kerjasama beberapa agensi dan nelayan bertungkus-lumus mencari mangsa sebelum menemui mayatnya.

“Mayat mangsa ditemui di perairan Kedah yang bersempadan dengan Pulau Pinang.

“Anggota SAR kemudiannya membawa mayat mangsa ke jeti Kuala Muda, Penaga sebelum dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, mangsa bersama Mohamed Zulhusni, 17, dan Azlan pergi ke pantai itu untuk mencari kepah.

Mereka bertiga yang sedang leka mencari kepah tidak menyedari ketika itu arus terlalu kuat hingga menyebabkan ketiga-tiganya dihanyutkan ke dalam laut.

Berita berkaitan:

  • Pencari kepah dikhuatiri lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 3:07 PM