ULAMA Salaf sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT.
ULAMA Salaf sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT.
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

KESESATAN sesuatu golongan perlu diperjelaskan oleh mereka yang mempunyai ilmu mengenainya. Jika fahaman sesat itu tidak dibendung ia pasti mengundang fitnah yang lebih besar terhadap Islam dan umatnya.

Adapun sikap menyembunyikan ilmu dan mendiamkan diri daripada membanteras golongan sesat yang semakin berleluasa adalah sikap tercela. Buktinya Allah SWT berfirman bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia dan beriman kepada Allah, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar." Surah ali-Imran: 110

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang melihat kemungkaran maka cegahlah ia dengan tangannya (kekuasaan). Jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan lisannya. Jika tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya. Itu selemah-lemah iman." Hadis Riwayat Imam Muslim

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menyembunyikan ilmunya seumpama orang yang menyembunyikan apa diturunkan oleh Allah SWT ke atas Muhammad." Hadis Riwayat Ibn Majah dan At-Thabrani dengan sanad yang daif, tetapi maknanya sahih

Berdasarkan dalil di atas, jelas kepada kita bahawa mereka yang tidak menegakkan kebenaran dan mendiamkan diri daripada membanteras suatu kesesatan dikira tidak menegakkan yang makruf serta tidak juga mencegah kemungkaran. Golongan ini dicela oleh syarak. Ini kerana penyelewengan dalam masalah akidah adalah sebesar-besar kemungkaran yang ada.

Justeru, fahaman Tajsim atas nama apa pun (seperti Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid al-Asma' wa as-Sifat dan lain-lain) sama ada dipromosi golongan mana sekalipun perlu dibanteras kerana kesesatannya amat jelas menurut al-Quran, as-Sunnah dan ijmak ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah sejak zaman Salaf al-Soleh hingga kini.

Pokoknya, al-Quran dan al-Sunnah adalah neraca kebenaran tertinggi terutama dalam masalah yang melibatkan akidah. Kita perlu menjelaskan setiap inci penyelewengan fahaman Tajsim dan aliran pemikiran yang berasaskan kepada doktrin itu secara terbuka. Usaha ini perlu dilakukan bagi mempertahankan kemurniaan akidah Ahli Sunah Waljamaah.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun atas kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka) maka hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A'zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya sesiapa yang terasing maka dia akan terasing dalam neraka." Hadis Riwayat Ibn Majah

Daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghimpunkan umat ini (umat Islam) dalam kesesatan selama-lamanya. Yadd (bantuan) Allah itu bersama-sama jamaah. Maka hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A'zhom (majoriti ulama dan umat Islam)." Hadis Riwayat al-Hakim daripada ad-Dhiya' al-Maqdisi

Kami akan memaparkan bukti jelas tentang asas akidah as-Sawad al-A'zhom (majoriti ulama dan umat Islam) dalam menolak fahaman Tajsim dan kelaziman fahaman tersebut semenjak zaman Salafus-soleh (zaman awal Islam) sehingga kini. Kronologi ini membuktikan kepada kita as-Sawad al-A'zhom juga dipelopori golongan al-Asyairah dan al-Maturidiyyah. Justeru, mana-mana pihak yang menentang prinsip akidah Ahli Sunah Waljamaah yang diperjuangkan golongan ini boleh dianggap golongan menyeleweng dalam memahami akidah.

Ulama Salaf (ulama terdahulu) sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT. Antara ulama salaf agung menolak doktrin Tajsim melalui karya mereka adalah Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-Fiqh al-Akbar, Imam at-Thahawi dalam Akidah Tohawiyyah, Imam Malik dalam al-Muwattha', Imam al-Syafii dalam al-Wasiyyah dan ramai lagi tokoh seangkatan dengan mereka.

Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari mengarang kitab Al-Luma' dan al-Ibanah untuk menolak fahaman ahli bidaah termasuk puak Mujassimah, yakni golongan mengkhayalkan zat Allah SWT.

Imam Ibn al-Jauzi juga menentang doktrin akidah yang menisbahkan fahaman Tajsim kepada Imam Ahmad dalam kitab beliau yang berjudul Daf'u Syubah At-Tasybih. Imam Ibrahim al-Laqqani di dalam Jauharat al-Tauhid, Imam Abu Bakr al-Razi dalam Syarh Bad'ie Al-Amali, Imam al-Sanusi dalam Umm al-Barahin, Imam al-Nasafi dalam Aqaid al-Nasafiyyah dan ramai lagi menentang pemikiran Tajsim.

Tidak ketinggalan juga, Imam Ibn Fauraq yang mengarang kitab bagi menentang fahaman Sifatiah Ibn Khuzaimah dan mazhab Syiah al-Karamiyyah. Begitu juga dengan Imam at-Thabari yang menolak teori Tajsim Ibn Khuzaimah. Imam al-Haramain turut menentang golongan Mujassimah dalam banyak kitab beliau. Selepas itu, muncul Imam Al-'Izz bin Abdil Salam, Imam Ibn 'Asakir, Imam Jamal Ad-Din Al-Hushairi dan Imam al-Ghazali juga turut menentang golongan Tajsim pada zaman mereka. Imam Fakhruddin al-Razi pula tampil membanteras fahaman Tajsim melalui kitabnya, Asas at-Taqdis.

Bagaimanapun Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani mengarang kitab at-Ta'sis bagi menolak kitab Asas at-Taqdis karangan Imam al-Razi secara keras. Pendekatan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam memahami nusus Mustasyabihat dilihat membuka semula kaedah yang boleh membawa kepada fahaman Tajsim. Bahkan kaedahnya banyak mengundang perdebatan terbuka dalam isu asas akidah. Teori beliau diteruskan pula oleh muridnya, Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang mengarang Qasidah Nuniyyah dan kitab Ijtima' al-Juyusyh al-Islamiyyah.

Kedua-dua kitabnya ini bukan sekadar mendukung teori Ibn Taimiyyah dan golongan Hanabilah Mujassimah, tetapi mereka turut memperjuangkan doktrin ketuhanan Syeikh Ibn Taimiyyah. Bahkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah membuat penentangan yang keras terhadap doktrin al-Sawad al-A'zham yang dipelopori ulama Ahlus-Sunnah al-Asya'irah. Malahan dalam sesetengah keadaan, beliau dan pengikutnya menjenamakan fahaman yang dirintis golongan ulama al-Asyairah (dalam bab mentakwil sebahagian nusus) sebagai golongan al-Jahmiyyah, yakni salah satu cabang golongan sesat. Nau'zubillah min dzalik.

Selepas itu, muncul pula Imam Taqiyuddin As-Subki yang menentang fahaman Tajsim Ibn Qayyim Al-Jauziyah. Imam Taqiyuddin Al-Husni As-Syafi'e juga mengarang kitab Daf' Syubah Man Syabbah Wa Tamarrad bagi menjelaskan kepincangan unsur Mujassimah karangan Ibn Qayyim dan Ibn Taimiyyah al-Harrani. Demikian juga Imam Fakhruddin As-Syafi'e tampil menentang teori sifat Ibn Taimiyyah dalam kitab beliau Najmu Al-Muhtadi.

Kemudian muncul pula pada kurun ke-20, Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari yang berperanan besar dalam membanteras fahaman Tajsim moden secara terang-terangan. Begitu juga dengan Syeikh Yusuf An-Nabhani dan Syeikh Yusuf Ad-Dijwi Al-Azhari. Tidak ketinggalan juga Syeikh Salamah Al-Khudho'ie Al-Azzami yang mengarang kitab Al-Barahin As-Sathi'ah fi Radd Ba'dhi Al-Bida' As-Sya'iah bagi menolak fahaman Tajsim secara ilmiah.

Antara ulama kontemporari yang begitu kuat menentang fahaman Tajsim adalah Syeikh Dr Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti (dalam kitab as-Salafiyyah), Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari, Syeikh Ali Jum'ah (Mufti Mesir), Syeikh Ahmad Khalili (Mufti Oman), Syeikh Nizham Ya'qubi (Syria), Syeikh al-Sayyid Yusuf Hasyim al-Rifa'ie (Kuwait), Syeikh Hassan al-Saqqaf (Jordan), Syeikh Mahmud Said al-Mamduh (Mesir) Syeikh Sa'id Fuodah (dalam kitab Al-Kasyif As-Shoghir, Naqd Ar-Risalah At-Tadammuriyyah), Syeikh Dr Umar Abdullah al-Kamil (Naqd Qowa'id At-Tasybih), Syeikh Habib Umar bin Hafidz (Yaman), Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji, Syeikh Dr Adil Azizah al-Kayyali, Syeikh Abdullah Harari, Syeikh Jamil Halim al-Husaini, Syeikh Jamal Sokhor al-Lubnani, Syeikh Khalil Dariyyan al-Azhari dan ramai lagi.

Semoga Allah SWT membantu kita membanteras penyelewengan fahaman Tajsim daripada persada pemikiran Islam kontemporari.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 5:59 AM